Tuesday, May 10, 2016

Hukuman Rotan Pelajar Dicadang Kembali Dilaksana Tahun 2017

Suatu masa dahulu, hukuman rotan adalah satu hukuman yang biasa didengar dikenakan keatas mana-mana pelajar yang melakukan kesalahan disiplin berat di sekolah.

Walau bagaimanapun, hukuman tersebut dikatakan tidak berapa sesuai untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah atas pelbagai faktor dan alasan daripada pelbagai pihak, yang seterusnya menyebabkan hukuman tersebut tidak lagi menjadi pilihan pihak berwajib.

Setelah sekian lama, pihak Kementerian Pendidikan melalui Timbalan Menterinya, Chong Sin Woon, menyatakan bahawa Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah. Hukuman tersebut bagaimanapun tidak dibenarkan dilakukan di depan khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik.

Pernyataan ini sudah tentunya akan memberikan pelbagai reaksi/respon yang berbeza oleh para ibu bapa serta banyak pihak. Walau apa pun yang dikatakan, sudah pasti tujuan dan matlamat pihak Kementerian Pendidikan melaksanakannya hanyalah satu, iaitu untuk MENDIDIK.


Sumber: Utusan Online
Oleh: Juani Munir Abu Bakar, 10 Mei 2016 1:18 AM

Hukuman rotan pelajar dilaksana 2017

PUTRAJAYA 9 Mei - Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, hukuman tersebut ba­gaimanapun tidak di­benarkan dilakukan di depan khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang bakal dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2017.

Katanya, antara penambahbaikan peraturan adalah kewujudan jawatankuasa disiplin di peringkat sekolah dan mewajibkan sesi kaunseling kepada pelajar bermasalah.

“Kementerian sedang melakukan kajian terhadap garis panduan sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Disiplin Pelajar 1959 yang terkandung dalam Ordinan Pendidikan 1957 sebelum draf penambahbaikan itu dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi.

“Usaha penambahbaikan ini bertujuan menjadikan peraturan disiplin di sekolah lebih komprehensif supaya pihak sekolah dapat mengawal tingkah laku pelajar dan murid dengan lebih teratur,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyua­rat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Sin Woon memberitahu, mesyuarat tersebut yang disertai oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggariskan empat pendekatan bagi mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Katanya, pihak kementerian akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melak­sanakan ujian air ken­cing dengan lebih ke­rap dan pemeriksaan mengejut di sekolah bagi mengesan pelajar yang mengambil dadah.

“Selain itu, pihak PDRM diminta merangka program di sekolah dalam memberi kesedaran kepada pelajar mengenai ancaman dan bahaya pengaruh kumpulan militan Negara Islam (IS). “Berkaitan kes buli, kementerian terus melakukan siasatan tanpa menerima aduan terlebih dahulu selepas menerima maklumat awal berhubung kejadian itu,” katanya.

Mengenai penyebaran video kes buli di laman sosial, Sin Woon berkata, kementerian akan memberi penjelasan kepada orang ramai dengan segera sama ada kejadian itu benar berlaku atau sebaliknya.

“Kita perlu memperjelaskan kepada masyarakat berhubung penyebaran video itu kerana di media sosial merupakan rakaman lama atau terjadi di negara lain,” katanya.

Menurut Sin Woon, penurunan kadar kes ponteng dan buli di sekolah sejak dari tahun 2012 sehingga 2015 adalah hasil kerjasama para guru dan ibu bapa serta masyarakat yang bekerjasama untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah.

“Pembentukan disiplin remaja harus menjadi tanggungjawab semua pihak sekiranya kita mahu melahirkan modal insan kelas pertama dengan memfokuskan kepada pembinaan insan bersahsiah tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Nota Terkini