Wednesday, January 25, 2012

Influenza

Influenza atau flu adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh virus influenza.

Virus influenza.

Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C. Ketiga-tiga ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza A adalah paling berbahaya kerana boleh menjangkiti haiwan dan manusia. Virus influenza A boleh menjalani mutasi (perubahan genetik) dan menghasilkan virus influenza jenis baru dan lebih berbahaya. Ini akan mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.



Adakah influenza sama dengan demam selsema?

Tidak.

Walaupun kedua-duanya mempunyai gejala yang hampir sama tetapi influenza menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk serta boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.

Perbandingan antara influenza dan deman selsema:

Tanda &
Gejala

Influenza
(Flu)

Demam Selsema
(Common Cold)

Demam

Tinggi. Biasanya melebihi 38°C.

Kurang dari 38°C.

Letih lesu

Teruk dan boleh berlarutan hingga 2 ke 3 minggu.

Sangat ringan.

Sakit otot / sakit sendi

Sederhana ke teruk.

Ringan.

Batuk

Batuk teruk, tidak berkahak pada peringkat awal.

Tiada / Ringan.

Hidung berair / berhingus

Tiada / Ringan.

Teruk.

Bersin

Kerap.

Tidak kerap.

Sakit tekak

Sederhana ke teruk.

Tiada / Ringan.

Sakit kepala

Sederhana ke teruk.

Ringan.

Penyebab

Virus influenza A, B atau C.

Adenovirus, rhinovirus, parainfluenza virus, corona virus dan lain-lain.



Apakah rawatan bagi influenza?

Tiada rawatan khusus untuk influenza. Rawatan yang diberikan adalah rawatan simptomatik sahaja.

Anda dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:
  • Mengambil ubat demam seperti paracetamol untuk melegakan demam dan sakit kepala.
  • Minum air atau minuman suam bagi melegakan sakit tekak dan batuk.
  • Amalkan pemakanan seimbang dan tidur atau rehat yang secukupnya.
  • Hindarkan stress kerana ini akan melemahkan sistem pertahanan badan.
  • Jika tanda dan gejala berlarutan atau tambah teruk dapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Bagaimana jangkitan influenza boleh dielakkan dari merebak?

i) Jika anda bersin atau batuk:
  • Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan.
  • Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.
  • Jangan berkongsi sapu tangan.
  • Basuh tangan dengan sabun selepas batuk dan bersin. Juga basuh tangan dengan bersih setelah menyentuh bahan mentah, permukaan tercemar, muka, hidung, telinga dan lain-lain anggota badan.
ii) Pakai penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan jangkitan influenza.

iii) Elakkan dari berada di tempat-tempat awam jika anda dijangkiti influenza.


Apakah perbezaan antara ubat antiviral dan vaksin influenza?

Ubat antiviral adalah ubat bagi merawat pesakit yang dijangkiti virus. Pemberian ubat antiviral pada masa yang betul akan dapat mengurangkan impak gejala dan tanda penyakit serta mengurangkan kemungkinan komplikasi penyakit.

Vaksin diberi sebagai langkah pencegahan. Vaksinasi menggunakan vaksin influenza yang ada di pasaran hanya untuk memberi perlindungan kepada individu dari mendapat jangkitan.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan mereka yang akan melawat negara yang sedang mengalami musim sejuk dan mereka yang akan mengerjakan haji dan umrah di Mekah agar mendapatkan suntikan vaksin influenza. Suntikan boleh diperolehi dari klinik atau hospital swasta tertentu.


Pastikan anda dapat membezakannya!

Anda haruslah memahami dan dapat membezakan istilah-istilah yang digunakan berkaitan dengan influenza:

Avian Influenza.
Avian influenza atau selsema burung adalah sejenis penyakit berjangkit yang biasanya berlaku di kalangan ayam, itik dan burung (unggas). Ia juga boleh menjangkiti manusia.

Epidemik influenza.
Epidemik influenza adalah kejadian wabak influenza yang menyerang sekumpulan penduduk di sesuatu lokasi atau negara.

Pandemik influenza.
Pandemik influenza adalah wabak influenza yang menyerang sebahagian besar dari penduduk dunia. Ia berlaku akibat kemunculan virus influenza baru yang mana penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus tersebut. Vaksin influenza yang sedia ada tidak dapat melindungi serangan virus pandemik influenza.


Sumber: Pamplet Kementerian Kesihatan Malaysia.

1 comment:

Nota Terkini