Tuesday, April 28, 2015

Kempen Penggunaan Plastik Bio-Degradable

“Kempen Penggunaan Plastik Bio-Degradable MPSJ” (asalnya Kempen Penggunaan Plastik Secara Mampan MPSJ) telah dilancarkan pada 10hb Februari 2012 sebagai inisiatif MPSJ untuk memberi kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kebaikan penggunaan beg plastik bio-degradable ke arah memelihara alam sekitar, selaras dengan amalan hidup yang sihat dan berkualiti.

Kempen ini bertujuan mengajak masyarakat mengamalkan sikap mencari atau menggunakan pilihan selain beg plastik konvensional atau bekas makanan polisterin, dengan penggunaan barangan alternatif seperti beg plastik atau bekas makanan bio-degrable, beg guna semula, bekas makanan dan beg kertas dalam urusan jual beli harian. Penggunaan plastik konvensional harus dikurangkan seterusnya dihapuskan bagi memelihara alam sekitar demi kebaikan generasi akan datang.

Selain itu, Kempen Penggunaan Plastik Bio-Degradable ini juga adalah sebagai sokongan MPSJ kepada Program Hari Tanpa Beg Plastik Selangor pada setiap hari Sabtu, disamping menggalakkan amalan Program 3R iaitu Reduce (pengurangan), Reuse (penggunaan semula) dan Recycle (kitar semula) kepada masyarakat.


Apa itu plastik bio-degradable?

Plastik bio-degradable merupakan produk yang paling sesuai dan praktikal bagi menggantikan beg plastik konvensional atau bekas makanan polisterin dari segi kegunaan dan kemampuannya untuk urusan jual beli harian.

Plastik bio-degradable dihasilkan daripada bahan yang boleh diperbaharui (renewable resources) seperti lemak dan minyak sayur-sayuran, kanji jagung, kanji kacang atau mikrobiota, yang tidak membahayakan kesihatan manusia dan lebih mesra alam.

Plastik bio-degradable boleh dikompos bersama-sama sisa makanan dan boleh terurai dalam persekitaran dengan lebih cepat iaitu antara 3 bulan sehingga  empat tahun sahaja berbanding dengan plastik konvensional, yang boleh mengambil masa lebih daripada 100 tahun.


Keburukan penggunaan plastik konvensional ke atas alam sekitar

Plastik konvensional dan polisterin diperbuat daripada bahan yang berasaskan petroleum seperti styrene dan benzin yang merupakan bahan yang tidak hancur dan reput tanpa dikenakan tindakan kimia ke atasnya.

Plastik konvensional atau bekas makanan polisterin tidak terurai sekiranya dihantar ke tapak pelupusan sampah dan akan kekal di situ sehingga beratus-ratus tahun di tapak pelupusan sampah. Ini akan mengakibatkan peningkatan sampah di tapak pelupusan sampah. Apabila dibakar pula ia akan menghasilkan asap hitam yang mencemarkan alam sekitar.

Plastik konvensional atau bekas makanan polisterin juga mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan serta mengambil masa beratus tahun untuk reput dan kemudiannya akan bertukar menjadi toksik. Ia juga membawa kesan buruk kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon.

Akibat daripada tabiat masyarakat yang buruk, plastik mudah dibuang merata-rata dan menjejaskan alam sekitar (longkang tersumbat, membunuh hidupan air dan mengotorkan persekitaran).



Bagaimana kita boleh membantu menjaga alam sekitar?

Dengan menyatakan “Katakan YA pada Beg Plastik Biodegradable” dan “Katakan TIDAK pada Beg Plastik Konvensional”.


Persediaan sebelum membeli-belah
  • Simpan beg guna semula di dalam kereta atau beg tangan bagi kegunaan pembelian yang tidak dijangka.
  • Ambil kesempatan untuk membeli-belah di pasaraya yang menyertai / menyokong kempen ini dan sertai tawaran-tawaran atau promosi-promosi berkaitan dengan penggunaan beg plastik secara bijak di kebanyakan pasaraya yang terbabit.
  • Gunakan beg plastik biodegradable bagi menggantikan beg plastik konvensional untuk membungkus barangan kerana ia lebih mudah terurai.
  • Jangan gunakan polisterin untuk membungkus makanan sendiri. Kita boleh membawa bekas makanan kerana ia boleh diguna semula atau gunakan sahaja kertas pembungkus makanan.
  • Menggunakan bakul dapat mengelakkan penggunaan beg plastik secara berlebihan.
  • Gunakan troli untuk mengelakkan menggunakan banyak beg plastik.
  • Elakkan mengguna terlalu banyak beg plastik untuk pembungkusan. Gunakan mengikut keperluan sahaja.
  • Penggunaan beg kain adalah lebih baik berbanding beg plastik kerana ianya boleh digunakan berulang kali.



Fakta yang perlu diketahui
  • Terdapat 500,000 penduduk di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan purata penghasilan sampah sebanyak 400 tan sehari.
  • Perangkaan menunjukkan seorang individu menggunakan kira-kira 8 keping beg plastik seminggu.
  • Purata 1 tan plastik bersamaan 20,000 botol minuman 2 liter atau 120,000 beg plastik.
  • 14% daripada komposisi sampah di Malaysia terdiri daripada plastik.
  • Plastik mengambil masa lebih daripada 100 tahun untuk terurai.
  • Penggunaan plastik di dunia didapati semakin meningkat daripada 5 juta tan metrik pada tahun 1950-an kepada 100 juta tan metrik sekarang.


Mulakan hari ini, sayangi alam sekitar
  • Sahutlah cabaran “Kempen Penggunaan Plastik Biodegradable” demi hari esok yang lebih baik.
  • Bantu MPSJ menghentikan pembuangan beg plastik ke dalam saliran dan kemusnahan alam sekitar dengan katakan “TIDAK” kepada beg plastik konvensional.
  • Bertukarlah kepada beg plastik biodegradable bagi mengelakkan penggunaan beg plastik konvensional.
  • Pilihan gaya hidup di tangan anda demi kepentingan generasi akan datang.

Sumber: Dipetik daripada helaian promosi Kempen Penggunaan Plastik Bio-Degradable MPSJ.

No comments:

Post a Comment

Nota Terkini