Nota Terkini

Wednesday, October 07, 2015

Pendidikan STEM CS mula diperkenal ke sekolah-sekolah di Malaysia

Petaling Jaya, 6 Oktober 2015 - Menyedari pembuatan aplikasi kini sudah semakin beraneka ragam beserta perkembangan teknologi yang semakin pesat, suatu inisiatif untuk mempertingkatkan suasana pembelajaran di dalam bilik darjah di sekolah-sekolah adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian.

Di negara-negara membangun, banyak perbahasan serta perbincangan telah dilaksanakan bagi mempertingkatkan keadaan bilik darjah yang lama kepada sesuatu yang lebih efektif dalam membangunkan kemahiran yang diperlukan dalam bidan STEM.

STEM merupakan singkatan bagi Sciences (Sains), Technology (Teknologi), Engineering (Kejuruteraan) dan Mathematics (Matematik), dimana negara-negara ini menyedari akan keperluan memperkukuhkan pendidikan STEM berdasarkan tuntutan perkembangan teknologi yang berterusan masa kini.

Dalam usaha melaksanakan innovasi ini ke dalam sekolah-sekolah di Malaysia, pembekal pendidikan teknologi K-12, iaitu Eduspec Holdings Berhad bekerjasama dengan Robomatter dan iCarnegie Global Learning beserta anak-anak syarikat Carnegie Mellon University, bagi melancarkan metodologi pendidikan canggih STEM, khas untuk sekolah-sekolah kebangsaan sebagai pelengkap kepada sistem kurikulum masa kini.

Digelar STEM CS, program ini telah direka oleh iCarnegie Global Learning dan Robomatter berdasarkan sumber-sumber yang disediakan oleh pihak universiti yang diiktiraf sebagai 'No. 1 Computer Science School' di Amerika Syarikat. Program ini merangkumi Sains Komputer dan Pengekodan (Coding) dengan menyediakan pakej keseluruhan dalam kelas dengan pelbagai aktiviti untuk pelajar, dan juga sebagai sumber untuk guru.

Program ini direka khas untuk mendidik pelajar tentang pengaturcaraan komputer bagi menyelesaikan masalah sebenar (realiti) dengan membantu mereka belajar untuk melakukannya. Selain itu, mereka akan didedahkan dengan proses penyelesaian masalah dan juga membantu membangunkan kemahiran abad ke-21 seperti kerja berpasukan serta kreativiti dalam suasana yang menyeronokkan.

"Kita kini berada di abad ke-21 bermakna proses baik pulih landskap pendidikan kita sudah lama tertangguh. Dengan membawa masuk STEM CS kami berharap agar dapat menangani jurang dan membawa sistem pendidikan ini ke sekolah-sekolah agar setanding dengan negara-negara maju yang lain", jelas E.H. Lim, CEO Eduspec Holdings Berhad.

"Sebenarnya STEM adalah cara berfikir dan melaksanakan, maka STEM CS bertujuan untuk mengubah corak pembelajaran pelajar-pelajar di dalam kelas. Dengan melakukannya sendiri, dapat membantu pelajar mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan menyimpan maklumat dengan lebih baik. Selain itu, proses pembelajaran di sekolah akan lebih menyeronokkan dimana begitulah sepatutnya", tambah E.H. Lim.

Serentak dengan pelancaran di Malaysia, Eduspec Holdings Berhad juga bekerjasama dengan CM Asia Learning untuk memperkenalkan STEM CS ke negara-negara ASEAN yang lain iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan beberapa lagi negara Asia Utara. Korea Selatan dan Taiwan telah pun menerapkan program ini di sekolah-sekolah.

E.H. Lim juga menyatakan pengenalan program STEM CS ke sekolah-sekolah di Malaysia adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar melanjutkan kerjaya dalam bidang STEM.

Pelan Pembangunan Pendidikan Negara telah menekankan keperluan bagi menggalakkan dan mengukuhkan pendidikan STEM di sekolah-sekolah bagi meningkatkan bilangan pelajar yang akan meneruskan pembelajaran dalam bidang STEM sehingga 60 peratus dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Bercakap sebagai salah seorang panel dalam slot bual bicara, Jason McKenna, Pengarah Strategi Pendidikan Global dari Robomatter menekankan perlunya untuk memulakan program ini seawal usia yang mungkin.

Slot bual bicara yang membincangkan tentang kepentingan STEM CS. 
Dari kiri: Jason McKenna (Director of Global Strategy of Robomatter), 
Yeoh Heng Poh (CEO of CM Asia Learning), 
Pang Chong Leong (Advisor of KKGGBM), 
EH Lim (CEO of Eduspec Holdings Bhd). 

"Membesar dalam dunia digital, mata pelajaran ini akan menjadi penting pada masa hadapan walaupun pelajar tidak melibatkan diri dalam bidang sains dan teknologi, malah kini kebanyakan majikan lebih cenderung untuk mengambil calon yang mempunyai galaman pengekodan (coding) berkaitan dengan penulisan dan mereka-bentuk.

"Ini kerana terdapat banyak keperluan bagi kemahiran digital dalam tenaga kerja, apatah lagi pada masa akan datang kebanyakan bidang kerja menuntut pemikiran kritikal serta analitikal yang dibangunkan daripada pembelajaran subjek STEM yang tidak terhad hanya kepada pengekodan dan sains komputer", jelas McKenna.

McKenna turut berharap agar semua ibu bapa dan pendidik masa kini dapat mempertimbangkan penggunaan STEM CS yang ingin dilaksanakan di sekolah. Ini kerana belia serta ahli panel yang lain telah membincangkan akan kebaikan yang bakal para pelajar manfaatkan daripada pembelajaran pengekodan dan sains komputer.

Para pendidik dan ibu bapa yang berminat dan memerlukan maklumat lanjut mengenai program STEM CS ini boleh merujuk ke laman web CM Asia Learning di www.cmasialearning.com

1 comment:

  1. I am extremely impressed along with your writing abilities, Thanks for this great share.

    ReplyDelete