Nota Terkini

Wednesday, October 29, 2008

Pelajar perempuan tendang guru disingkir

Berita Harian

KANGAR: Pelajar perempuan yang bertindak ganas menendang seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis, dekat sini, baru-baru ini disingkir daripada sekolah itu berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat ketika dihubungi berkata keputusan menyingkirkan pelajar Tingkatan Dua itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin sekoleh itu, namun beliau tidak menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Sebelum ini, pelajar berusia 14 tahun itu yang menendang guru sivik, Azhana Ibrahim, 27, di dalam bilik darjah sekolah itu pada 16 Oktober lalu digantung persekolahannya selama seminggu untuk siasatan.

Bagaimanapun, setelah siasatan selesai, jawatankuasa itu memutuskan pelajar itu disingkir daripada sekolah yang sebahagian besar pelajarnya berketurunan Cina.

Bagaimanapun, Mansor berkata pelajar itu tetap diberi peluang mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Perlis untuk membolehkannya dipertimbangkan menyambung persekolahan di sekolah lain.

Pelajar itu dilaporkan bertindak ganas setelah guru itu meminta penjelasan daripadanya mengenai tulisan “gila babi” yang ditulis dalam satu tugasan yang diarahkan guru itu.

Mengenai kes pergaduhan sekumpulan 16 pelajar sekolah yang sama pada 20 Oktober lalu, beliau berkata empat daripada mereka yang terbabit dikenakan hukuman disingkir daripada sekolah berkuatkuasa hari ini, manakala selebihnya digantung persekolahan serta diberi surat amaran keras.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada salah faham sebelum berlaku pergaduhan yang terpaksa dileraikan dengan kehadiran anggota polis.

No comments:

Post a Comment